Namun semakin meningkat dewasa kehidupan mereka tiba-tiba berubah dan menjadi gelap.

Seorang demi seorang yang masing-masing kini berumur 67, 73 dan 79 tahun itu, tidak lagi mampu melihat keindahan dunia selepas mengalami masalah ketumbuhan isi di urat mata sehingga menjadi buta.

Sebelum itu, tiga lagi kakak mereka yang sudah me­ninggal dunia sejak 12 tahun lalu juga me­ngalami masalah sama.

Apa yang istimewa, meskipun tidak dapat melihat namun Halijah Ibrahim, Manai dan Zainah yang tidak pernah berkahwin, menjalani kehidupan seperti orang biasa tanpa bergantung bantuan orang lain.

Mereka mampu memasak, mengemas, membuat barangan kraf tangan, mengaji al-Quran dan pelbagai lagi aktiviti lain seolah-olah seperti tidak mempunyai masalah penglihatan.

Malah ketika masih kuat, mereka juga mengusahakan bendang sendiri selain aktiviti berkebun dan menimba ikan seperti kebanyakan penduduk lain di kawasan kampung berkenaan.

Halijah berkata, mereka sudah biasa melakukan kerja-kerja tersebut dan mengingati setiap ruang rumah dan kawasan berhampiran ketika masih boleh melihat semasa zaman kecil.

Katanya yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan, mereka adik-beradik juga malah saling bantu membantu membuat kerja rumah sejak dahulu lagi.

“Kalau saya memasak, adik-adik lain akan basuh pakaian dan mengemas. Pada waktu malam pula kami menghabiskan masa di masjid.

“Kami terima ujian Allah dengan hati terbuka selain terus berusaha menjalani kehidupan. Kami akan bersama sehinggalah ke akhir hayat di rumah ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.