Ketua Penolong Pengarah E8 Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi bersepadu itu merupakan yang ketiga dijalankan selepas serbuan sama di Cyberjaya dan Masjid India masing-masing pada Rabu dan Ahad lalu.

Menurut beliau, serbuan dijalankan dengan kerjasama  Unit Udara Polis Diraja Malaysia, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Unit Tindakan Khas, Pasukan Simpanan Persekutuan, Unit Forensik, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara.

"Tujuan utama operasi ini  dijalankan di kawasan Nilai 3 kerana komposisi pekerja-pekerja asing yang ada dari Pakistan dan Afghanistan.  Kita bimbang sekiranya ada elemen-elemen IS wilayah Khorosan yang melibatkan kedua-dua negara itu cuba menyusup masuk," katanya ketika selepas operasi itu di sini.

Ayob Khan berkata, operasi itu melibatkan 321 pegawai dan anggota dari pelbagai agensi penguat kuasa.

"Sebanyak 1,018 premis di Nilai 3 diperiksa dalam operasi ini dan jumlah warga asing yang ditahan akan dimaklumkan selepas operasi tamat," ujarnya. - UTUSAN ONLINE