Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

254 kes didakwa di mahkamah

Kes pemerdagangan manusia bagi tempoh Januari-Jun 2017

AHMAD ZAHID HAMIDI
AHMAD ZAHID HAMIDI

PUTRAJAYA 17 Julai - Kerajaan berjaya membawa sebanyak 254 kes pemerdagangan dan berunsur pemerdagangan manusia bagi tempoh Januari sehingga Jun lalu untuk didakwa di mahkamah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 67 sabitan telah diperoleh yang mana 43 kes adalah pemerdagangan manusia dan 24 daripadanya berunsur pemerdagangan manusia.

“Bagi tempoh Januari hingga Mei lalu, jumlah tangkapan direkodkan adalah sebanyak 363 kes,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Zahid sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (HLC MAPO) Bilangan 2 2017 di sini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Datuk Masir Kujat; Menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Paul Low Seng Kuan dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Pada mesyuarat tersebut, beliau yang juga Menteri Dalam Ne­geri menyalurkan dana berjumlah RM1.3 juta kepada dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat membantu kerajaan menguruskan mangsa pemerdagangan manusia iaitu Pusat Kebajikan Good Shepherd dan Tenaganita Sdn. Bhd.

Ahmad Zahid berkata, penglibatan NGO dalam pengurusan mangsa pemerdagangan manusia menunjukkan perkembangan positif, justeru beliau mahu ia diteruskan bagi memastikan kebajikan mangsa terpelihara.

Jelasnya, ia selaras dengan komitmen negara melaksanakan pindaan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Beliau berkata, kerajaan sehingga kini telah mengisytiharkan sebanyak tiga buah rumah perlindungan mangsa pemerdagangan manusia iaitu di Sabah, Selangor dan Pulau Pinang.

Dalam pada itu, mesyuarat turut menumpukan kepada pencapaian negara berkaitan Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai pemerdagangan manusia serta langkah-langkah penambahbaikan bagi penilaian tahun akan datang.

“Malaysia sebelum ini pernah berada di kedudukan tahap dua (Pemerhatian) selama lapan kali kerana tidak menunjukkan peningkatan ketara dalam usaha membanteras jenayah pemerdagangan manusia berbanding tahun sebelumnya.

“Namun kedudukan negara melonjak ke tahap dua pada tahun ini kerana negara melaksanakan usaha-usaha penting sejajar dengan kehendak Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Terhadap Pertubuhan Jenayah Transnasional dan Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan 2000,” kata Ahmad Zahid.

Katanya, mesyuarat juga mengambil maklum mengenai hari kesedaran jenayah pemerdagangan manusia atau World Day Against Trafficking in Persons yang akan diadakan pada 30 Julai ini.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain