Anak-anak lebih percaya apa yang ‘dilihat’ daripada apa yang ‘didengar’, titah baginda.

“Jika kita menyuruh mereka menguruskan masa dengan baik sedangkan kita sendiri tidak, maka mereka lebih mudah terikut-ikut dengan apa yang dilihat.

“Amat wajar dalam mendidik anak-anak, kita juga mendidik diri kita sendiri. Justeru, marilah kita saling ingat-memperingati,” titah baginda.

Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat melancarkan kempen ‘Op Sifar Cicir Sekolah’ anjuran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) peringkat SMK Kuala Perlis, SK Seberang Ramai, SK Kuala Perlis, SJK(C) Khay Beng dan SJK(C) Chun Siew yang diadakan di Masjid Ar Rahmaniah Kuala Perlis.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Turut serta dalam program pada kali ini ialah Pengasas dan juga Presiden ASEAN People’s Association (ASEAN PAC) yang berpengkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat, Nellsen Young.

Majlis tersebut disekalikan dengan program kayuhan ‘MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’ Bilangan ke 12 bagi tahun 2019 yang melibatkan kehadiran 268 asnaf terpilih menerima sumbangan agihan zakat MAIPs sebanyak RM600 setiap seorang.

Di akhir program Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Yang Dipertua MAIPs turut berkenan singgah merasmikan Projek Peningkatan Sosio Ekonomi Asnaf MAIPs berupa perniagaan kedai runcit JSA Indah Enterprise yang diusahakan oleh Syaiful Azwani Saad mula beroperasi sejak awal tahun ini di alamat No 950 Kampung Teluk, Batu 5 Jalan Kuala Perlis. Beliau pernah mendapat bantuan modal permulaan daripada MAIPs sebanyak RM 4,000. - UTUSAN ONLINE