Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sepatutnya sentimen pemecahan kaum seperti itu sudah tiada lagi setelah negara 60 tahun merdeka.

Menurut beliau, sebaliknya apa yang perlu diamalkan ialah silang budaya dengan saling memahami perasaan antara kaum di negara ini.

"Dasar pecah dan perintah  ini sepatutnya sudah berlalu namun berlaku sentimen pemetakan dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

"Sedangkan kemajmukan rakyat di negara ini harus dipertahankan  menerusi silang budaya iaitu kita memahami perasaan orang Cina, India dan kaum-kaum lain namun dalam masa sama mereka juga perlu memahami perasaan orang Melayu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tapah di Dewan Merdeka di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE