Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah, kewujudan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) juga dilaksa­nakan menerusi konsep berkenaan.

Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan sumba­ngan MAIPs untuk Tabung Ibnu Sabil kepada pejabat kedutaan Malaysia di The Haque, Belanda baru-baru ini.

Sumbangan berjumlah RM5,000 itu disampaikan kepada Duta Besar Malaysia ke Belanda, Datuk Ahmad Nazri Yusof yang antara lain untuk membantu rakyat Malaysia yang terkandas di negara berkenaan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, ada rakyat Malaysia yang menghadapi masalah kesihatan dan kewangan di luar negara dan wang daripada tabung itu boleh dikeluarkan untuk membantu mereka.

Baginda yang juga Tuanku Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap) berada di Belanda baru-baru ini mengetuai delegasi Jelajah Ilmu Unimap.

Berangkat sama anakanda kedua baginda, Puteri Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Yang turut hadir, Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Mohd. Fo’ad Sakdan.

Mengenai KUIPs yang merupakan institusi pengajian tinggi di bawah MAIPs dan terletak di Titi Tinggi di sini itu, ia kini semakin mendapat tempat, termasuk dalam kalangan mahasiswa antarabangsa.

Penubuhannya beberapa tahun lalu sejajar dengan usaha MAIPs untuk menyuburkan konsep wakaf sebagai ibadah dalam kalangan masyarakat mengikut acuan al-Quran dan sunah.

Oleh itu, titah baginda, rakyat Perlis perlu mengambil peluang keemasan untuk melanjutkan pengajian masing-masing ke pe­ringkat tinggi di institusi tersebut kerana ia menawarkan pelbagai kemudahan dan kelebihan.

MAIPs turut bekerjasama dengan Unimap dan Universiti Teknologi Mara Cawangan Perlis dalam me­laksanakan program wakaf pendi­dikan yang dapat memberi manfaat kepada universiti dan mahasiswa.