Itu antara pengorbanan Azlinda Zainuddin, 49, dan Abdul Walid Mohd. Isa, sebagai ibu bapa kepada Abdul Rashid Abdul Walid, 10, kanak-kanak yang menghidap penyakit jantung berlubang.

Perlu bekerja keras dan sanggup melakukan apa sahaja demi mencari duit bagi membiayai kos pembedahan yang dijadual pada hujung bulan ini.

Pasangan itu perlu menyediakan sekurang-kurangnya RM45,000.

Menurut Azlinda, anaknya yang dilahirkan dengan kecacatan sindrom Down, bukan sahaja mengalami masalah jantung berlubang, tetapi turut menghidap pelbagai penyakit seperti masalah tulang belakang, usus sempit, tonsil, tiroid, pendengaran dan pertuturan.

“Doktor memberitahu pembedahan untuk menutup kedua-dua lubang pada jantung yang berukuran sembilan dan 10 milimeter perlu dilakukan secepat mungkin memandangkan keadaan Rashid sekarang sudah stabil.

“Sebelum ini, banyak kali pembedahan yang dijadualkan terpaksa ditunda memandangkan penyakit tiroid yang dialami Rashid tidak stabil.

“Jadi penghujung bulan ini dipilih dan selepas ini (selepas pembedahan menutup kedua-dua lubang), barulah pembedahan untuk tonsil dan tiroid boleh dilakukan, selain rawatan untuk penyakit-penyakit lain,” ujarnya lanjut.

Azlinda dan suami yang mengusahakan kedai makan dari Isnin hingga Jumaat bermula seawal pagi hingga 4 petang, turut menjual kerongsang di pasar pagi dan pasar malam setiap Sabtu dan Ahad.

Azlina berkata, apa juga pekerjaan yang dilakukan oleh mereka adalah semata-mata untuk menampung perbelanjaan anak bongsunya itu.

Ini kerana selain perlu membeli keperluan harian seperti lampin pakai buang dan juga susu yang dianggarkan RM350 sebulan, pasangan ini juga memerlukan perbelanjaan untuk membawa anaknya ke Hospital Selayang, Selangor yang dijadualkan empat kali sebulan.

 

Bukan itu sahaja, Rashid juga perlu dirujuk ke Hospital Putrajaya tiga bulan sekali untuk pemeriksaan penyakit tiroid dengan perbelanjaan RM300 untuk sekali pemeriksaan.

Dia juga perlu mendapat rawatan lanjut di Institut Jantung Negara (IJN) dan pemeriksaan-pemeriksaan rutin untuk masalah telinga, tulang belakang, dan usus.

Jelas ibu kepada lima orang cahaya mata itu lagi, memandangkan kini mereka bekerja sendiri (berniaga), jadi setiap kali apabila Rashid perlu dibawa ke hospital, dia dan suami akan ‘tutup kedai’.

Kedai makan yang diusahakan terpaksa ditutup memandangkan kesemua masakan yang disajikan dimasak sendiri oleh Azlinda.

Disebabkan keadaan inilah, kedua-duanya tidak pernah merungut malah sanggup melakukan apa sahaja untuk menampung perbelanjaan harian dan juga kos minyak dan tol.

“Pendapatan kami boleh dikatakan pendapatan harian dan sekiranya kedai tidak beroperasi maka kami tidak mempunyai pendapatan untuk hari tersebut.

“Alhamdulillah, setakat ini ada rakan-rakan yang sudi membantu, dapatlah sedikit sebanyak kami menampung mana-mana yang perlu,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai pembedahan jantung anak bongsunya nanti, Azlinda berkata, kos pembedahan dianggarkan antara RM35,000 hingga RM45,000.

Jumlah tersebut tidak termasuk kos rawatan susulan dan perbelanjaan harian lain sepanjang anaknya berada di IJN.

Sehingga kini selain sudah mengumpul sebanyak RM15,000, hasil sumbangan daripada orang ramai, pasangan ini juga telah memohon Tabung Bantuan Perubatan IJN dan Pusat Zakat Selangor.

Tiada apa yang diharapkan pasangan ini selain melihat pembedahan berjaya, seterusnya dapat merawat penyakit-penyakit lain.