Bagaimanapun kata Siti Nordiana atau Nana, lagu dan lirik ciptaannya itu hanya boleh diikuti selama dua hari sahaja kerana berlaku sedikit masalah teknikal.

“Sayang sungguh sebab lagu itu hanya boleh bertahan dua hari saja kerana saya lupa nak perbaharui akses aplikasi. Dalam tempoh dua hari pun sudah mencecah 7,000 pengguna yang berduet dengan saya menerusi lagu Terus Mencintai.

“Kalau tak ada masalah akses itu, rasanya boleh pergi jauh lagi kerana sebelum ini saya mendapat hampir 9,000 pasangan duet untuk lagu Memori Berkasih. Memang tak sangka kerana untuk setiap lagu yang saya nyanyi di aplikasi Smule itu, peminat tak kira usia turut menyanyi,” katanya kepada Utusan Online.

Menurut Nana, lagu Terus Mencintai juga mendapat perhatian penyanyi Khai Bahar yang turut tidak ketinggalan berduet dengannya.

“Saya paling suka apabila berduet dengan adik kecil bernama Puteri Nur Husna Izzara yang menyanyi sambil bercakap itu. Adik ini adalah peminat saya dan kami pernah bertemu sebelum ini tapi waktu ajak nyanyi, mood dia tak berapa baik.

“Kebanyakan lagu-lagu saya di Smule, selalunya dia turut serta. Bagi saya, inilah cara untuk mendekati peminat dan secara tidak langsung peluang untuk mereka dilamar oleh syarikat rakaman,” katanya.

Sehingga kini lagu Terus Mencitai yang mula dimuat naik di YouTube sejak 10 Mac lalu telah mencecah hampir sejuta tontonan. - UTUSAN ONLINE