Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie berkata, MFL juga sudah sedia maklum mengenai perkara tersebut.

Dalam masa sama, Ahmad Amizal turut memaklumkan beliau akan mengemukakan segala bukti dokumen kedudukan kewangan mereka kepada MFL esok.

"Geran itu hanya untuk bayar pemain musim lepas dan bukan pada musim ini. MFL sudah sedia maklum mengenai perkara itu. Kita juga sentiasa ikut apa jua perkara yang ditetapkan oleh MFL sebelum ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Semalam, MFL menegaskan tidak akan memberi geran tahunan kepada tujuh pasukan Liga Malaysia (Liga M) jika pasukan terbabit tidak menyelesaikan tunggakan gaji pemain.

MFL juga memberi tempoh sehingga esok untuk melihat laporan kewangan semua pasukan berkenaan atau mereka boleh melupakan habuan yang sepatutnya diterima setiap tahun.

Biarpun tidak menyatakan jumlah geran yang sepatutnya dinikmati pasukan berkenaan musim ini, namun berdasarkan pembayaran tahun lalu, pasukan Liga Super akan menerima RM3 juta manakala RM1 juta untuk mereka yang beraksi di Liga Perdana.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Amizal menjelaskan bahawa gaji para pemain masih belum dibayar namun mengulangi janji sama akan menyelesaikannya dalam tempoh terdekat.

Beliau juga berharap para pemain dapat memahami situasi persatuan pada masa ini.

Selain itu, Ahmad Amizal turut memberitahu bahawa pihaknya kini sedang berunding dengan beberapa penaja dan prosesnya berjalan lancar.

"Insya-Allah segala-galanya berjalan lancar. Pasukan juga berada dalam keadaan harmoni dan bersedia memberi persembahan terbaik menentang JDT 2 esok," katanya. - UTUSAN ONLINE