Sebaliknya fokus para pemain berada pada tahap tinggi untuk memberikan persembahan terbaik dalam menghadapi setiap perlawanan Liga Perdana khususnya untuk menebus kekalahan pertama menentang UiTM FC esok.

Seorang pemain yang enggan namanya didedahkan berkata, meskipun mengakui masih belum menerima gaji, namun keadaan mereka tidaklah seteruk seperti digambarkan media sejak akhir-akhir ini.

“Saya berharap pihak-pihak tertentu janganlah memanaskan lagi keadaan, biar Presiden PFA (Persatuan Bola Sepak Perlis) tunaikan janjinya (membayar gaji).

“Pada masa ini, pasukan berada dalam keadaan harmoni, menjalani latihan macam biasa dan bersemangat baik. Kami akan cuba memberikan persembahan terbaik dalam setiap perlawanan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah akhbar yang mendedahkan skuad Perlis berada dalam keadaan kronik sejak awal lagi termasuk terpaksa meminjam bola daripada pasukan lain ketika mula menjalani latihan.

Terdahulu, turut terdapat desas-desus bahawa Safee Sali; Mohd. Badhri Radzi atau Piya dan beberapa pemain bintang lain akan turut angkat kaki menyertai pasukan lain.

Sementara itu, pemain tersebut berkata, selain menjalani latihan dengan kelengkapan yang cukup, mereka juga diberikan penginapan di Kuala Lumpur.

Malah ketika ditanya sama ada betul Safee dan Piya akan angkat kaki, pemain tersebut memberitahu, sepanjang pengetahuannya, kedua-dua pemain berkenaan masih tetap bersama pasukan.

“Mereka menjalani latihan seperti biasa dan fokus untuk perlawanan. Sekali lagi saya berharap, jangan panaskan lagi keadaan yang boleh merencat perjalanan skuad Singa Utara," katanya. - UTUSAN ONLINE